Rabu, 28 April 2010

kenapa WANITA istimewa

Mama dan Papa sedang menonton TV, seraya mama berkata. “..i letih
la..dah lewat ni, i nak tido lah….”
Mama pun pegi dapur nak tutup tingkap dapur, nanti masuk pulak
lipas…leceh pulak nanti..dah tu, ade pulak rice cooker dalam
sink..rendam lepas makan tadi..basuh jap…
susun pinggan kat rak, lap dapur..terpercik kena sambal masa masak
tadi…check air panas dalam flusk..takut habis pulak nanti malam
anak
nak susu…memang dah kering pun flusk ni, jerang la air…sementara
tunggu air masak, nampak pulak bekas gula dah kosong….salin la
gula…check bubur untuk anak nak hantar ke taska esok..nasib baik ade
lagi…ishh…ni lauk bila ni, semalam…dah beku dah…basuh la
kejap….pegi yard, masukkan baju kotor dalam mesin basuh…penat dah
ni, besok je la basuh…sidai kaian lap je lah…
tik…bunyi air dah masak…salin air dalam flusk…ok settle…

baru teringat tak semayang lagi…on da way nak g bilik, papa tgk tv
lagi…nampak pulak beg anak untuk hantar ke taska…check…baju 2
pasang, towel…towel kecik utk selsama…calamine lotion untuk sapu
ruam…pampers
4 keping….alamak..telupa pulak masukkan botol…basuh botol jap…ok
settle…
ternampak pulak beg g keje…emm..besok nak pakai beg polo coklat lah,
asik2 pakai beg hitam ni je…salin jap barang2 g beg coklat…cek sume
6
poket beg, takut la tetinggal apa2..leceh pulak..selalunya barang yang
tertinggal tu la yang nak pakai nanti…hishhh sempit la beg ni…hangin
je…nak kena beli ni beg baru…rasenya 25 hb ni Sogo sale nih…mana
flyers tadi ek…ha ni die..ok, catit jap kat yellow sticker, nanti
lupa..ok settle…
Tetiba dengar suara papa…”..u buat apa lagi tu..tadi kata nak
tido..”….”..yelah nak tido la ni..nak smayang jap…”
masuk toilet..buat apa2 yang patut…cuci muka dulu..2 jenis lak
tu…adoi..gosok gigi…smayang…pakai toner…pakai treatment
cream…nak lawa and maintain punya pasal lah ni…
nanti orang kata baru anak satu dah macam anak 4 pulak…huhuhuhu…
bukak almari…emmm…pakai baju hijau ni lah besok…gosok kejap..check
baju papa, baju papa pun kena gosok jugak ni…kat bilik belakang…
la, napa komputer ni tak tutup ni..gelas kopi pun ade lagi, dah bersemut
dah..ishhh …g dapur,
basuh, sambung gosok baju…gantung
elok2…kemaskan baju gantung2…masukkan seluar papa yang dah kotor
dalam tempat kotor…ok settle..
dgr suara papa lagi…”..i dah ngantuk ni..”..dalam pada nak masuk ke
bilik…owh…pokok aku dah nak mati ni ha..lupa dah 3 hari tak
siram…ok, siram jap…check jap pintu ni…sah tak kunci lagi…grill
pun tak tutup..ni kalau tak check ni, senang2 je mat indon masuk rompak
umah aku…bukak lampu luar..
ni mainan ni sepah2…masukkan la dalam bakul mainan budak ni…banyak
nya…sampai bawah meja makan pun ade…adoi….ok dah …
ok dah boleh baring…adoi sakitnya pinggang…cium si comel ni
kejap…selimutkan die…la..napa basah ni…emm, tukar la pempers
ni…tak bagus la brand ni, nanti nak tukar lain la…nanti g Sogo 25 hb
ni beli la skali…ok sayang tido k…kalau boleh jangan la bangun tgh
malam ni eh..tido sampai pagi k…gud nite..sweet
dreams…
aaahh…sedapnya dapat baring…mana pulak lotion sapu kurus aku
nih…ha, ni dia…sambil sapu lotion kurus,,,setkan alarm…setkan
program kerja besok…pg kul 9.30 ade meeting..
ahh…boring…panas pulak lotion nih..dah la…emm..sedapnya lelapkan
mata…Ya Allah…terima kasih untuk rezekiMU hari ini,…mohon
keberkatan dari mu tuhan…papa pun bangun tutup tv…”…i dah ngantuk
sangat ni…nak tido lah…citer pun tak best malam ni, bola pun
takde…”…selang seminit …dengar suara papa berkeruh…dah agak
dah….
So?….apa yang peliknya..??
Anda tahu kenapa wanita hidup lebih lama?…SEBAB ADE BANYAK KERJA NAK
KENA BUAT….tu yang tak boleh nak mati cepat tu…
Hantarkan ke 5 WANITA yang anda rasa hebat…pasti anda disayangi kerana
memahami mereka…well, women understand women better…
foward jugak kat lelaki-lelaki so mereka akan hargai emak, isteri, dan
kawan
2
dengan lebih baik lagi…
Tak kira la wanita berkerjaya atau surirumah…setiap wanita adalah
istemewa dengan cara mereka sendiri…
Kalau lelaki mengakui kebenaran ini….hormat dah hargailah
mereka…untuk keperibadian dan kebolehan mereka untuk berdikari…
apa pendapat anda?

REDA, MAAF BANTU KAWAL EMOSI

ADA masanya kita tidak sedar apa puncanya kita marah-marah. Mungkin disebabkan perasaan cemburu atau kecil hati. Atau persekitaran yang memberi kita tekanan sehingga menimbulkan perasaan marah.
Bayangkan juga jika anda terpaksa berdepan individu yang sering marah-marah apatah lagi jika tidak diketahui apa puncanya. Apabila sudah marah, ada saja yang tidak kena. Lebih parah lagi orang yang dibelenggu perasaan marah sering tidak mampu mengawal diri lantas bertindak di luar kewarasan fikiran. Dua insiden mengejutkan Ahad lalu tidak mustahil ada kaitannya dengan perasaan marah yang tidak dapat dibendung lagi.
Di Nibong Tebal, Pulau Pinang, seorang ibu sanggup membakar diri kerana kecewa dengan kedegilan anaknya. Sementara itu, di Kuala Lumpur, seorang lelaki Indonesia dibunuh kerana bercinta dengan isteri orang.
Menurut Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Kaunseling Psikologi, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, untuk memahami kemarahan, seseorang perlu memahami psikologi.
Kemarahan tidak berlaku tanpa tiada sebab. Ia seperti satu transformasi yang berubah disebabkan sesuatu. Misalnya, kecewa dan putus asa boleh melarat kepada perasaan marah.

“Lebih mudah, marah terjadi kerana ada sesuatu bertindak sebagai pencetus. Jika seseorang berfikiran negatif, maka dia tidak boleh menguruskan kemarahan tersebut dengan baik. Misalnya, dalam kes Roslina Rosli, 33 yang membakar dirinya, mungkin dia berasa kecewa, merajuk, diketepikan dan tidak dihormati oleh anaknya. Justeru itu, dia seharusnya mengawal kemarahannya pada peringkat awal,” jelasnya.
Tambah Dr. Haslee, mungkin wanita tersebut juga tertekan kerana tidak dibantu oleh suaminya dalam menangani emosi marah. Dalam kata lain, perasaan wanita tersebut tidak diurus dengan baik. Lazimnya, seorang wanita akan berasa lebih tenang jika emosinya mendapat sokongan orang tersayang.
Sementara itu, marah terdiri daripada dua jenis iaitu marah yang terkawal dan tidak boleh dikawal.
“Seseorang yang mengalami kemarahan tidak terkawal boleh mengamuk dan bertindak tidak rasional. Individu seperti ini ialah orang yang berfikiran negatif.
“Manakala mereka yang boleh mengawal kemarahan mempunyai minda yang boleh berfungsi dan berfikir untuk memperbaiki keadaan dan bukan memburukkan situasi,” ujarnya.
Untuk mengawal kemarahan, seseorang perlu ada kesedaran. Jika mereka sedar, kita ada kesempatan memperbaiki keadaan dan diri. Jika kita tangani peristiwa itu secara positif, seseorang boleh berada dalam keadaan gembira dan reda.
“Tafsiran sesuatu peristiwa mempengaruhi fikiran dan jika positif, kita dapat membuat pilihan mengawal dengan baik. Dalam kes yang lepas, mangsa sebenarnya perlu dibantu jika perbuatannya itu menyusahkan orang lain. Dia perlu mendapatkan rawatan. Realitinya, peristiwa itu menyebabkan dia melepaskan kemarahan dan tekanan dengan cara yang salah,” jelas beliau.
Pendekatan RMS
Justeru itu, Dr. Haslee telah menghasilkan pendekatan RMS untuk membantu meningkatkan kesihatan psikologi. Kaedah ini lebih praktikal diguna dalam kaunseling.
“RMS merupakan singkatan untuk Reda, Maaf dan Syukur. Reda ialah menerima takdir dengan hati yang terbuka. Oleh itu, jiwa akan tenang. Selain itu, setiap orang perlu ada sifat pemaaf kerana kita tidak akan menyimpan setiap kemarahan di dalam hati. Kita akan melepaskan perasaan itu dan membiarkannya pergi. Jika kita tidak memaafkan orang lain, kita akan sakit hati dan bersikap keras hati. Justeru itu, perasaan bengang akan timbul dan menganggu cara berinteraksi dengan orang lain,” jelasnya. Sementara itu, seseorang juga perlu ada perasaan syukur. Apabila seseorang bersyukur, ia bermaksud dia sentiasa berterima kasih setiap apa yang dimilikinya. Namun, Dr. Haslee memberitahu, ramai yang tidak bersyukur dengan kelebihan dan memperbesar-besarkan kekurangan. Jika ini berlaku, maka banyak benda negatif akan berlaku.
Dalam konteks ibu dan anak, si ibu perlu menerima kekurangan anak dan bersyukur dengan kekurangannya. Tiada siapa yang membantu diri sendiri melainkan fikiran kita menjadi positif. Si anak juga perlu mengamalkan sistem RMS iaitu reda, bersedia memaafkan diri sendiri dan orang lain serta bersyukur dengan apa yang ada di sekeliling.
Persoalan mengawal kemarahan ini datang daripada diri sendiri. ia boleh menghasilkan emosi matang dan emosi tidak matang.
“Contohnya di pejabat, jika ada berlaku kesilapan dalam kerja, seorang ketua yang mempunyai emosi matang akan berfikir dahulu sebelum bertindak. Jika ketua tidak mempunyai emosi yang matang, dia akan melenting untuk melepaskan kemarahannya. Ini bermakna, dia belum berjaya mengatasi kemarahannya,” katanya.
Dalam pada itu kemarahan yang berpanjangan boleh memudaratkan diri dan orang lain. Hakikatnya, kemarahan ini tidak memberi sebarang faedah. Tetapi orang yang memendam perasaan juga boleh memakan diri. Jika dia tidak berjaya mengurus kemarahan, dia akan melepas dengan cara yang salah.
Pengurusan kemarahan
Dengan itu, setiap individu perlu bijak mengurus kemarahan. Pengurusan kemarahan adalah teknik mengurangkan emosi marah dan reaksi fisiologi yang timbul apabila marah. Kita tidak mungkin menghapuskan kemarahan sepenuhnya, tapi kita boleh mengurangkannya dan belajar menanganinya.
“Kita mempunyai cara yang mudah iaitu kaedah 5W1H iaitu apa, di mana, siapa, bila, mengapa dan bagaimana. Jika setiap individu mempunyai jawapannya, maka dia akan tahu punca kemarahannya. Walaupun nampak remeh, ia dapat membantu menjawab pertanyaan kepada kita marah. Misalnya, jika si ibu tadi dapat menjawab persoalan-persoalan ini, dia mungkin dapat mengurus kemarahan dengan betul,” katanya.
Jika individu sanggup membunuh kerana cemburu, ini bermakna perasaan ini memang tidak dapat dikawal. Tekanan perasaan seperti kesempitan duit dan cemburu merupakan punca-punca lazim kepada sifat marah. Ia secara tidak langsung menganggu kawalan emosi. Dr. Haslee menambah, meningkatnya tekanan akan menyukarkan kita mengawal perasaan.
“Penjagaan diri juga penting untuk mengawal emosi. Ia dapat mengawal kesihatan fizikal dan emosi. Jika kita tersilap makan, kita ada simptom tetapi sakit perasaan, seseorang itu hanya makan hati,” ujarnya.
Mengulas tentang perhubungan suami dan isteri, Dr. Haslee memberitahu, suami sebagai ketua keluarga perlu tahu keadaan keluarga sama ada berlaku kekurangan dan perubahan.
” Paling mudah, kita mengikut cara Nabi Muhammad S.AW. Rasulullah berjaya mengawal kemarahan kerana mungkin baginda sentiasa bersyukur. Perkara inilah yang perlu dilakukan setiap umat Islam,” jelasnya.
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

RESEPI PERKAHWINAN BAHAGIA

TERDAPAT banyak rahsia atau resipi untuk perkahwinan yang bahagia. Bagaimanapun di bawah dikongsikan tujuh saranan yang boleh diamalkan anda dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga. Cadangan ini memang ringkas dan boleh dibuat seberapa segera oleh mana-mana pasangan suami isteri.
1. Jika anda mahukan perkahwinan yang telah dibina bertahun-tahun kekal segar-bugar seperti hari pertama berkahwin, anda perlulah berusaha untuknya. Caranya ialah dengan meletakkan perkahwinan itu pada tempat utama. Berikan perhatian padanya dan selalu memperuntukkan masa untuk setiap perkara yang berkaitan rumah tangga. Tidak kiralah apa yang anda selalu katakan tentang rumah tangga anda yang penting sekali ialah bagaimana cara anda menanganinya.

Tip: Buat penilaian sejauh mana anda telah memberi komitmen terhadap perkahwinan anda. Adakah anda telah meluangkan masa dan tenaga yang sepatutnya demi keharmonian rumah tangga anda?

2. Fokuskan tentang perkara yang disukai tentang pasangan anda dan abaikan apa jua perkara yang tidak berkenan tentang dia. Jika berjaya melakukan ini maka anda telah mengelakkan banyak perkara negatif yang mungkin berlaku seperti adanya hubungan sulit, perselisihan faham antara suami isteri dan yang paling penting dapat mengelakkan penceraian. Jadi fokuskan yang positif dan buang tanggapan negatif jauh-jauh.

Tip: Jangan asyik mengkritik dan mencari kelemahan pasangan. Walaupun perkara tersebut terdetik jangan biarkan ia bersarang di hati. Bila anda mula memikirkan perkara baik tentang pasangan, ia sekali gus merangsang rumah tangga menjadi lebih bahagia.

3. Sifat baik hati amat penting dalam sesebuah rumah tangga. Maka, jadilah seorang yang baik. Menerusi kajian yang dilakukan kebanyakan suami atau isteri akan lebih melayan orang luar berbanding layanan terhadap ahli keluarga sendiri. Jika anda diberi pilihan untuk menjadi ‘yang benar’ atau ‘yang baik’ maka pilihlah untuk menjadi yang baik. Itu memang satu nasihat yang bagus.

Tip: Dalam minggu ini cuba buat sesuatu yang menggembirakan hati pasangan anda. Buat kejutan seperti belikan hadiah atau menyediakan makan malam istimewa. Pastikan hati anda ikhlas ketika melakukannya dan jangan pula harapkan balasan.

4. Bila pasangan membantu anda dalam sesuatu perkara walaupun nilainya tidak seberapa, berilah dia penghargaan. Cukup sekadar mengucapkan terima kasih atas bantuan tersebut yang telah meringankan beban anda. Jadikan sikap itu satu amalan dan jika ia sudah sebati dengan diri anda pasti rumah tangga akan dipenuhi keceriaan dan kegembiraan.

Tip: Lihat balik betapa pasangan anda itu bermakna dalam hidup anda. Cuba renung sesekali ke dalam mata mereka dan senyum. Anda boleh bermula dengan ayat-ayat penghargaan yang amat ringkas seperti ’saya suka senyuman awak’ atau ‘terima kasih atas hidangan makan malam yang lazat malam tadi.’

5. Jika anda berhajat tentang sesuatu perkara jangan pendam dalam hati dan harapkan pasangan anda dapat ‘membaca’ isi hati anda. Jika perkara dimahukan tidak terjadi tentu anda berang, beritahu pasangan apa yang anda mahukan dengan cara berhemah dan jelas, Komunikasi yang baik memudahkan hubungan anda berjalan lancar. Jadi bercakaplah dan jangan harap pasangan anda boleh menjadi ‘ahli nujum’ pula.

Tip: Selalunya anda harapkan pasangan anda memahami apa hajat anda tanpa perlu mengatakannya? Tidak kira lelaki atau wanita masing-masing mengharapkan pasangan berlaku romantis dan mengidamkan masa berdua-duaan. Tidak kurang juga yang mengharapkan pasangan membantu dalam urusan kerja rumah. Senang saja, cakaplah pada pasangan apa yang anda mahukan.

6. Buang sifat suka menghukum atau mempertahankan diri secara perlahan-lahan. Lapangkan hati menerima pendapat pasangan anda dan itu tidak bermakna anda tidak mempunyai pendirian sendiri. Tidak bermakna juga jika anda tidak menyangkal maka anda salah sebab dalam hubungan suami isteri ini memang perlu selalu bertolak ansur terutama untuk mengekalkan kasih sayang antara satu sama lain. Tidak rugi mengalah kerana dialah insan yang anda mahukan berada di sisi anda seumur hidup bukan?

Tip: Pilih satu sifat pasangan anda yang selalu membuatkan anda marah. Bila anda dan pasangan berdebat tentang perkara tersebut cuba dengar sahaja dan jangan berfikir tentangnya walaupun dalam hati. Cuba tengok apa hasilnya?

7. Buka hati anda seikhlas-ikhlasnya untuk pasangan anda. Kebanyakan daripada kita yang telah bertahun-tahun berumah tangga masih membatasi kasih sayang sepenuhnya buat pasangan. Jika anda mahukan rumah tangga yang harmoni dan sentiasa bersemarak bahagia, cubalah ambil risiko tersebut dan jangan fikirkan tentang perkara negatif.

Tip: Buangkan sifat buruk sangka. Memang konflik sesekali akan tercetus tapi jika anda pandai mengawal diri dan yakin pasangan anda juga patut diberi peluang maka runtuhkanlah tembok keegoaan itu. Pasti rumah tangga anda akan kekal harmoni hingga ke akhir hayat.

Isnin, 26 April 2010

KESAN ZIKIR KEPADA OTAK MANUSIA

_____________________________________

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran. Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993.

Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudara ku seIslam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang mudah kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Ahad, 25 April 2010

Bayi Susu Ibu IQ Tinggi

Oleh : Zuhayati Yazid


SUSU ibu adalah anugerah pemakanan yang terbaik untuk setiap bayi. Pakar perubatan mengakui ia tidak boleh ditandingi oleh apa jenis susu formula sekali pun. Hakikatnya susu ibu mengandungi segala kebaikan yang diperlukan oleh bayi dalam jumlah yang betul iaitu protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan mineral.

Menurut Pakar pemakanan dari Universiti California, Dr. J. Bruce German, khasiat susu ibu terlalu banyak berbanding apa juga jenis susu formula. Antaranya ia mempunyai kolestrum, iaitu cecair berwarna kekuningan yang keluar sebelum susu keluar, yang membantu sistem pencernaan bayi dan menambah baik sistem imunisasi badan bayi.

"Susu ibu adalah zat makanan paling ideal untuk bayi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan pertama.

"Ia cukup berkesan memastikan pembesaran sempurna, mengelak jangkitan penyakit, menggalakkan perkembangan kecerdasan anak dan menghindari obesiti serta penyakit,'' katanya dalam satu sesi yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Katanya, bayi yang diberikan susu ibu kurang mengalami alahan, sakit usus, pencernaan dan asma kerana susu ibu juga mempunyai antibodi.

Menurut German lagi, susu badan sepatutnya diberi sebaik saja bayi dilahirkan dan perlu diteruskan sehingga bayi berusia enam bulan. "Situasi ini penting kerana proses penyusuan badan juga dapat mengubah kehidupan wanita bergelar ibu pada kehidupan yang lebih bermakna,'' jelasnya. 

Beliau yang berpengalaman dalam bidang nutrisi lebih dari 10 tahun memberitahu, selain kelebihan untuk bayi, ibu turut mendapat banyak manfaat daripada penyusuan badan seperti mengurangkan pendarahan selepas bersalin.

"Malah sesetengah ibu yang menyusukan badan tidak mengalami putaran haid selagi bayinya menyusu.

"Lebih menarik lagi bagi ibu yang menyusukan bayi dengan susu badan dapat mengembalikan berat badan seperti sebelum hamil dengan lebih cepat.

"Perlu diketahui bahawa setiap wanita akan mengalami penambahan berat badan sekurang-kurangnya 12 kilogram ketika hamil, malah ada juga mengalami sindrom metabolisme seperti obesiti, tekanan darah, penambahan glukosa dan sebagainya. Melalui penyusuan bayi banyak membantu situasi tersebut kembali menjadi normal.

"Jadi menjadi satu kerugian besar apabila wanita yang bergelar ibu tidak menyusukan bayi dengan susu badan hanya kerana percaya dengan tanggapan bahawa ia boleh menjejaskan bentuk badan si ibu,'' tegasnya lagi.
Bukan setakat itu saja, menurut German, menyusukan bayi dengan susu badan juga dapat mengurangkan risiko osteoporosis atau kerapuhan tulang pada anak.

"Hal ini berlaku, sekiranya ibu menyusukan secara berterusan anak tersebut selama lapan bulan, tulang mereka akan menjadi semakin kuat," katanya.
Selain itu, menurut kajian yang telah dilakukan bayi yang diberikan susu ibu mempunyai tahap kecerdikan (IQ) yang lebih tinggi dan lebih bijak apabila membesar.

"Justeru bagi ibu bapa yang baru menerima kehadiran cahaya mata, pastikan bayi anda menerima susu ibu khususnya dalam sejam pertama kelahiran bayi.

"Ini kerana bayi khususnya yang mengalami kekurangan berat badan, sangat memerlukan kolestrum iaitu nutrien penting yang terdapat dalam susu ibu," katanya.

Ahad, 18 April 2010

Fahami lelaki atau...

Semua mengetahui bahawa wanita dan lelaki itu amat berbeza daripada segala segi. Cuma, ada segelintir masyarakat khususnya wanita sengaja memandang sepi perbezaan yang nyata disedari mereka.

Mungkin, golongan seperti ini perlu meneliti buku, For Women Only : What You Need to Know About the Inner Lives of Men hasil tulisan Shaunti Feldhahn.

Menariknya,buku ini menceritakan tentang kebenaran yang mengejutkan berkaitan lelaki hasil temubual penulis bersama lebih seribu kaum Adam:

1. Lelaki lebih suka rasa dirinya tidak disayangi daripada berasa serba kekurangan dan tidak dihormati.
- Para suami perlu tahu bahawa isteri mereka sebenarnya amat menghormati mereka tidak kira secara peribadi atau di khalayak ramai.

2. Lelaki akan bangga apabila mengetahui isteri mereka mempercayai dan mengagumi mereka.
- Kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn mendapati lelaki lebih suka melihat hilangnya perasaan sayang di hati isteri mereka daripada tidak dihormati oleh isteri masing-masing.

3. Kemarahan yang diluahkan lelaki dikatakan satu tindak balas yang sering dilakukan golongan itu apabila mereka berasa diri tidak dihormati oleh si isteri.
- Apabila suami marahkan isterinya, dia mungkin tidak akan berkata: "Awak langsung tidak menghormati saya". Tetapi, besar kemungkinan dia berasa terluka dengan salah satu perbuatan isterinya yang dianggap tidak menghormati dirinya sebagai suami dan itu merupakan satu penghinaan.

4. Lelaki mempunyai perasaan tidak yakin pada dirinya sendiri.- Mereka selalu berasa takut kemungkinan dilukai dalam hidup: tidak hanya berkaitan kerja, tetapi juga di rumah iaitu dalam memainkan peranannya sebagai seorang suami. Mungkin, mereka tidak menyuarakannya, tetapi hakikatnya mereka memang mudah dilukai.

Penawarnya? Tentulah pengakuan. Bagi lelaki, pengakuan daripada si isteri adalah segala-galanya. Pengakuan yang tulen daripada si isteri (bukan pujian) membuatkan lelaki rasa lebih yakin dan terjamin dalam menjalani kehidupan harian mereka.

5. Lelaki sebenarnya rasa terbeban dengan statusnya sebagai pencari nafkah untuk keluarga.- Secara umumnya,tidak penting berapa gaji yang diperoleh si lelaki, ataupun isterinya memperoleh gaji yang lebih besar mahupun sedikit. Apa yang pasti, lelaki akan memikul bebanan untuk menyara keluarganya walaupun ia bukan pilihan hatinya.

Lelaki akan terikat dengan bebanan itu. Hakikatnya, perkara tersebut tidak akan lari meninggalkan fikiran lelaki dan keadaan itu akan memberi kesan pada perasaannya yang rasa seolah-olah terkurung.

Bagaimanapun, isteri memang tidak boleh membebaskan suami daripada bebanan itu, cuma mereka boleh membantu meringankan bebanan melalui kata-kata penghargaan, galakan dan sokongan.

6. Lelaki mahu lebih seks.
- Ramai mungkin beranggapan lelaki mahukan lebih hubungan seks dengan isterinya disebabkan keadaan fizikal mereka (keperluannya). Tetapi, apa yang mengejutkan, kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn menunjukkan bahawa alasan lelaki mahukan lebih seks kerana ingin rasa dihormati oleh isteri mereka.

Lelaki cuma suka andai diri mereka diperlukan. Biasanya, memenuhi keinginan seks lebih menjurus kepada nafsu dan perasaan ingin disayangi oleh si lelaki.

Seks bukan hanya hubungan kelamin antara suami dan isteri tetapi lebih daripada itu. Apabila suami merasakan si isteri mengingini mereka secara seksual, ia amat memberi kesan pada keseluruhan kehidupan mereka. Ia membuatkan mereka lebih yakin dan bahagia. Namun, di sebaliknya wujud pula kesan negatif.

Apabila suami berasa dirinya ditolak, dia berpendapat isterinya bukan sahaja menolaknya daripada segi fizikal, tetapi menidakkan peranannya sebagai suami dan juga lelaki. Sebab itu, melakukan hubungan seks adalah satu keutamaan dalam perkahwinan dan ia juga sangat penting.

7. Lelaki bergelut dengan godaan mata.- Maknanya, majoriti besar kaum lelaki akan bertindak balas terhadap imej yang dilihat terutama berkaitan wanita. Dan, lelaki berkenaan bukan hanya mereka yang sememangnya bermata liar.

Lelaki yang baik juga tidak terkecuali daripada memandang wanita yang memakai pakaian yang seksi dan menarik. Biarpun, pandangan itu hanya sekilas, imej tersebut akan tersimpan dalam fikiran lelaki dan ia akan kembali terbayang pada bila-bila masa.

8. Golongan Adam memang suka berasmara.- Namun, mereka sebenarnya ragu-ragu sama ada cara mereka itu romantik atau tidak. Hakikatnya, ramai lelaki sebenarnya tidak romantik, tetapi ia tidak bermakna mereka ingin berkeadaan begitu.

Lelaki hendak juga menjadi romantik, tetapi mereka sangsi dengan keupayaan sendiri untuk melakukannya. Mereka sering dihantui perasaan ragu-ragu, berkemungkinan diri berhadapan dengan risiko yang memalukan dan kegagalan.

Bagaimanapun, isteri boleh membantu meningkatkan keyakinan suami untuk menjadi seorang yang romantik melalui galakan dan mentafsirkan semula hubungan asmara mereka.

9. Kaum lelaki amat mengambil berat tentang penampilan isterinya.- Kenyataan itu tidak bermakna semua suami ingin isteri mereka kelihatan seperti supermodel. Apa yang sebenarnya diingini lelaki hanyalah agar si isteri berusaha menjaga penampilan diri kerana ia amat bermakna buat mereka (suami).

Malah, suami amat menghargai usaha si isteri yang cuba mengekalkan daya tarikan mereka.

10. Lelaki yang bergelar suami sememangnya mahu isterinya mengetahui bahawa dia amat sayangkan mereka.
- Itu adalah maklum balas pertama yang diperoleh daripada lelaki yang ditemui penulis. Cuma, lelaki tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk meluahkan perkara tersebut biarpun sebenarnya mereka amat mencintai isteri mereka.

Lelaki memang ingin memberitahu atau memperlihatkan betapa sayang dan cintanya mereka kepada isteri masing-masing, tetapi mungkin anda perlu menunggu lama sedikit untuk melihat mereka melakukannya.

**** Moga memberikan manfaat buat semua :)

Pertengkaran penting dalam perhubungan?

Pertengkaran penting dalam perhubungan?
Perbezaan pendapat atau pertikaman lidah adalah perkara biasa dalam sesuatu perhubungan. Malah umum mengetahui bahawa perhubungan tanpa sebarang pertelingkahan biasanya sukar untuk bertahan dan putus di tengah jalan.

Mengapa pertengkaran penting?Ini kerana, bertengkar dapat memberi kita peluang untuk melihat pilihan sedia ada dalam apa jua situasi. Kita selalunya dikaburi dengan pendapat sendiri sehingga gagal melihat pandangan orang lain terhadap sesuatu perkara.

Seperti contoh, kita percaya bahawa anak-anak tidak patut diberikan wang. Semua duit mereka perlu disimpan dalam bank untuk kegunaan masa depan mereka sendiri. Kedengaran logik bukan?

Bagaimanapun, pasangan anda mungkin berpendapat bahawa dengan memberikan anak wang, mereka akan belajar menilai wang dan menimba pengalaman sendiri betapa sukarnya untuk menyimpan.

Lebih banyak mereka simpan, banyak lagi benda penting yang boleh mereka beli di kemudian hari. Bukankah itu pandangan yang lebih baik?

Jadi, bagaimana sebenarnya boleh pertengkaran dibentuk untuk menghasilkan keputusan yang lebih positif? Hanya ada satu perkara yang boleh dilakukan.

Peraturan utama pertengkaran adalah persediaanSediakan peraturan sebelum memulakan apa-apa.

Ingatkah anda sewaktu cinta mampu mengatasi segala-galanya? Ketika si dia lewat dua jam untuk temujanji dan anda masih mampu tersenyum apabila dia tiba. Cuba duduk dan bincang dengan pasangan mengenai peraturan-peraturan kecil pada ketika itu.

Bincangkan hal ini - "Dalam sesuatu isu (pertengkaran), bagaimana anda dan pasangan menyelesaikannya?"

Berikut adalah beberapa cadangan yang kedua-dua anda boleh mencapai kata sepakat dalam perbincangan ini.

Bertengkar hanya apabila pertengkaran itu boleh membantu anda berdua menjadi orang yang lebih baik.Tidak ada sebab untuk bergaduh mengenai siapa yang patut membuang sampah. Seseorang masih perlu melakukannya, jika tidak, rumah anda akan mula berbau. Jika kedua-duanya masih lagi tersangkut dalam pertengkaran yang tiada penghujungnya itu, salah seorang patut mengingatkan pasangan lain bahawa ia memang tidak berbaloi langsung.

Jangan sesekali serang egoTidak ada lelaki yang sabar dipanggil pengecut, sama seperti wanita tidak suka dilayani seperti hamba! Perjelaskan kepada pasangan sempadan itu dan pastikan dia faham.

Seperti contoh, wanita tidak suka dimarahi lelaki di khalayak ramai, jadi si lelaki perlu tahu hal ini dan walaupun tidak suka, dia perlu menangani isu tersebut secara peribadi. Juga, jangan panggil pasangan dengan nama-nama hina atau mengeji.

Hanya seorang bercakap pada satu masa.Pertengkaran tidak akan menjadi positif apabila ia menjadi 'persembahan duet' oleh anda dan pasangan. Ini apabila kedua-duanya menjerit ke arah satu sama lain pada masa yang sama.
Bagaimana hendak kenal pasti masalah jika tidak ada yang mendengar? Tapi jangan pula kedua-duanya membisu.

Tentukan pemenang dan yang tewasPastinya pertengkaran itu menjadi sempurna apabila hasilnya adalah situasi menang-menang. Tetapi, ada kes di mana keputusannya berat sebelah. Contohnya, jika suami ditugaskan mengurus hal-hal kewangan, hampir semua perselisihan faham mengenai wang akan dimenangi suami.

Sediakan peraturan bagaimana untuk menjadi pemenang atau sebaliknya. Seperti contoh, pemenang harus menghormati pihak yang tewas.

Bersetuju mengguna orang ketiga
Hanya apabila pertengkaran sukar diselesaikan dan kedua-dua pihak tidak bersedia untuk berkompromi. Orang ketiga perlu 'ditugaskan' terlebih dahulu seperti kawan baik atau ahli keluarga terdekat.

Orang ketiga akan membantu pasangan itu mencapai kata sepakat. Dia juga mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berdasarkan perbalahan itu dan pasangan berkenaan harus menerimanya walau apa pun.

Bagaimanapun tindakan ini tidak digalakkan kerana boleh menjejaskan kehidupan peribadi pasangan dan orang ketiga terbabit.

Mana-mana pihak boleh meninggalkan pertengkaran pada bila-bila masa (tempoh bertenang).Adalah normal berlaku tahap kemarahan akan membuak-buak ketika bertengkar terutama apabila menyentuh hal peribadi. Pasangan perlu bersepakat terlebih dahulu bahawa salah seorang boleh meminta dibiar bersendirian untuk satu tempoh sebagai waktu bertenang.

Perkara ini boleh membantu terutama apabila ketika marah, pertimbangan akan dikaburi emosi dan kita tidak dapat melihat dengan jelas pilihan yang lebih baik. Ini sebenarnya peraturan yang paling sukar kerana kemarahan memerlukan seluruh kekuatan yang ada hanya untuk mengawalnya.

Berlatih bertengkar
Walaupun kedengaran pelik, tapi apa salahnya. Atur beberapa masa untuk berlatih mengendalikan pertengkaran. Cuba gunakan permohonan tempoh bertenang, atau pihak ketiga atau tidak menyerang ego.

Ia boleh menyentuh apa jua isu, ingat, tujuannya adalah untuk berlatih peraturan-peraturan penting di atas sebelum anda dan pasangan benar-benar bersedia untuk bertengkar.

****Moga ada yang mendapat manfaat. Terima kasih kepada pengirim emel. Tak pasti sumber dari mana tetapi maklumatnya amat berguna!!

Sabtu, 17 April 2010

Kongsi Petua dan Doa Mendidik Anak

Dalam kita mendidik anak, kita memang berharap anak kita jadi anak yang soleh, baik, tidak tinggalkan sembahyang dan sebagainya. Jadi setiap hari, setiap masa bersama anak seboleh mungkin kita cuba memberi contoh teladan yang baik, sediakan pelbagai peralatan (buku, CD, komputer, tv dan sebagainya) supaya anak-anak belajar dan mencontohi yang baik-baik, menjaga permakanannya dan sebagainya. Tetapi di samping itu jangan kita lupa, berdoa kepada Tuhan itu juga penting. Segalanya berlaku hanya dengan izinNya. Di sini aku nak letak petua ayat-ayat amalan dalam mendidik anak.
Baca ayat-ayat berikut dan sapu atas ubun-ubun anak sambil berniat dan berdoa kepadaNya apa yang kita hajatkan. Boleh juga amalkan bila nak beri anak minum air, baca ayat-ayat tu tiup-tiup pada air. Tujuannya seperti yang disebut di ataslah, supaya anak-anak jadi orang baik, soleh, lembut hati, dengar cakap mak ayah, taat perintah Tuhan dan sebagainya.
  1. Surah Al-Fatihah (1 kali)
  2. Ayat kursi (1 kali)
  3. Surah al-Insyirah (1 kali)
  4. Surah Toha ayat 1 hingga 7 (1 kali)

    Saya rasa ramai yang tahu ayat-ayat di atas, dan ramai yang sudah menghafalnya kecuali surah Toha ayat 1 hingga 7. Jadi di sini saya letakkan ayat itu bagi memudahkan kita mengamalkannya. Mudah-mudahan dengan izinNya apa yang kita hajatkan dimakbulNya.
    Maksudnya:
      
    Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.


  • Taa Haa.




  • Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.




  • Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah




  • (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.




  • Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.




  • Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.




  • Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu, (maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.



  • Jangan sesali apa yang sudah pergi.

    Jangan sesali apa yang sudah pergi. Jangan tangisi apa yang sudah tiada. Tetapi bangkitlah dan bina kembali apa yang telah hilang dan pergi.
    Jika anda berkerja kerana wang, anda tidak akan kaya kerananya. Tetapi jika anda menyintai perkerjaan yang anda lakukan, kejayaan itu akan menjadi milik anda.
    Kita sering melihat derita hari ini, tapi kita jarang ingat kebahagian untuk esok hari, jadi belajarlah untuk menghargai apa yang kita miliki hari ini, kerana kita tak akan dapat mencapai penghargaan untuk esoknya jika semuanya telah tiada.
    Anda mungkin ditipu jika terlalu mempercayai, tetapi hidup anda akan terseksa jika tidak cukup mempercayai.
    Ketika anda melontarkan sesuatu dalam kemarahan, kata-kata itu meninggalakn bekas seperti lubang di hati orang lain. Ibarat menusuk pisau ke dalam dada dan mencabutnya. Tidak kira berapa kali kamu meluahkan kata-kata maaf, luka itu akan tetap ada.
    Kemaafan mungkin terlalu berat untuk diberikan kepada mereka yang telah melukakan hati kita, tetapi hanya dengan kemaafan dapat mengubati hati yang terluka.
    Seseorang itu harus cukup rendah hati untuk mengakui kesalahannya, cukup bijak untuk mengambil manfaat dari kegagalannya dan cukup berani untuk memperbetulkan kesilapannya.
    Bermimpilah tentang apa yang ingin kamu lakukan dan jadilah seperti apa yang kamu impikan kerana kita hanya memiliki satu kehidupan dan satu kesempatan untuk melakukan apa yang kita inginkan.
    Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kita tidak akan dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan sehingga kita melupakan kegagalan dan rasa sakit hati lalu.
    Dunia ini umpama lautan yang luas dan kita adalah kapal yang belayar di atasnya. Telah banyak kapal yang karam di dalamnya. Andai muatan kita adalah iman, dan layarnya adalah takwa nescaya kita akan terselamat dari tersesat di lautan hidup ini.
    Hiduplah seperti lilin yang akan menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain.
    Akal itu menteri yang menasihati, hati itu adalah raja yang menentukan, harta itu adalah tamu yang akan berangkat, kesenangan itu suatu masa yang akan ditinggalkan.
    Harta yang paling menguntungkan adalah sabar, teman yang paling akrab adalah amal, pengawal yang paling waspada adalah diam, bahasa yang paling manis adalah senyum dan ibadah yang paling indah adalah khusyuk.
    Hidup memerlukan pengorbanan, pengorbanan memerlukan perjuangan, perjuangan memerlukan ketabahan, ketabahan memerlukan keyakinan, keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagian.
    Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.